Rabu, 03 Oktober 2012

Suami isteri berubah menjadi sepasang ular



 Suami isteri berubah menjadi sepasang ular

Sebuah restoran yang terletak di sebuah daerah di negeri Pantai Timur Malaysia terkenal dengan masakannya yang amat sedap dan menyelerakan. Berbagai jenis hidangan dengan layanan mesra sentiasa menunggu pelanggan-pelanggan yang singgah untuk menjamu selera. Setiap hari restoran ini dipenuhi oleh pengunjung-pengunjung yang silih berganti. Pemilik restoran ini adalah sepasang suami isteri yang sentiasa berusaha keras untuk kemajuan perniagaan restoran mereka.

Selang beberapa tahun menguruskan perniagaan mereka, kehidupan pasangan suami isteri ini pun semakin mewah dan dapat membeli banyak hartanah, wang simpanan yang banyak dan memiliki beberapa buah kenderaan untuk kegunaan keluarga mereka. Akhirnya si suami bersuara kepada isterinya,

" Maknya... kita rasa dah sampai masa kita berdua menunaikan fardhu Haji... Perniagaan kita pun dah maju dan anak-anak kita pun dah besar, mereka boleh diharapkan untuk menguruskan restoran kita sepanjang masa kita di Mekah nanti..."


"Baiklah ayahnya..." Balas si isteri memberikan persetujuan.

Setelah membuat pendaftaran dan persediaan yang lengkap, kedua suami isteri itu pun berangkatlah ke Tanah Suci bersama beberapa orang bakal jemaah lain dari kampung yang sama, yang diketuai oleh seorang ustaz bernama Haji Fadhil.

Sebaik tiba di Tanah Suci kedua suami isteri ini pun menunaikan rukun ibadah Haji yang sepatutnya. Sehinggalah tiba pada suatu hari, kedua suami isteri ini berasa kurang sihat dan kedua-duanya masuk ke bilik air di khemah penginapan mereka untuk membuang air. Setelah sekian lama menunggu, rakan-rakan jemaah yang lain mula risau kerana keduanya masih tidak keluar dari bilik air tersebut.

Puas rakan-rakan yang lain mencari di dalam bilik air dan sekitar khemah mereka, namun kedua suami isteri tersebut tidak juga ditemui. Apabila mereka amati kembali di sekitar bilik air tersebut, didapati terdapat longgokan pakaian milik suami isteri tersebut dan di celah-celah longgokan tersebut terdapat 2 ekor ular hitam yang kemudiannya perlahan-lahan menyusur keluar dan hilang di celah-celah batu di padang pasir yang panas itu.

Setelah menyaksikan perkara tersebut, ustaz Fadhil selaku ketua rombongan itu lalu memaklumkan kepada pihak polis perihal kehilangan secara tiba-tiba kedua suami isteri pengusaha restoran tersebut. Setelah berbagai usaha mencari dilakukan dan puas menunggu beberapa lama, pasangan suami isteri tersebut tidak juga ditemui, sehinggalah ke hari untuk kembali ke Malaysia. Kedua suami isteri tersebut diklasifikasikan sebagai 'orang hilang' dan dimaklumkan kepada ahli keluarga mereka di Malaysia.

Sekembali ke Malaysia, ustaz Fadhil segera menziarahi anak-anak pasangan malang tersebut. Setelah diselidiki, anak sulung pasangan tersebut, Khairul, lalu bercerita perihal ibu bapa mereka yang mempunyai sebutir 'Geliga Ular' yang digunakan sebagai pelaris dalam perniagaan restoran mereka. Air dari rendaman geliga tersebut digunakan untuk memasak dan membancuh air minuman di restoran mereka, manakala geliga itu pula seringkali diasapi oleh ibu bapa mereka 'untuk memanggil pelanggan' agar terus berkunjung ke restoran mereka. Oleh kerana mujarabnya 'bantuan Geliga Ular' tersebut, restoran mereka sentiasa laris perniagaanya sehingga terkenal dan didatangi pelanggan dari merata daerah dan negeri.

Ustaz Fadhil mengucap panjang dan meminta untuk melihat batu yang dikatakan 'Geliga Ular' itu daripada anak pengusaha restoran tersebut. Dalam kebingungan anak sulung pasangan tersebut menunjukkan batu tersebut kepada ustaz Fadhil. Batu tersebut hitam, berkilat malah bercahaya. Ia memang sebuah 'geliga' atau permata yang cantik... Namun, penyalahgunaannya menjadikan ia dipuja sehingga pemiliknya antara sedar dan tidak telah bersekutu dengan syaitan untuk mengunakannya untuk melariskan perniagaan mereka. Apa yang ada pada 'Geliga Ular' tersebut adalah sihir dari kuasa jahat syaitan yang dilaknati Allah untuk memesongkan akidah manusia yang lemah imannya dan lalai dari mengingati kuasa Allah. Mereka mencari jalan singkat untuk mendapat apa yang diimpikan melalui bantuan syaitan dengan perantaraan 'Geliga Ular' tersebut....

Ustaz Fadhil menggeleng-gelengkan kepalanya. Dalam hatinya dia merasa yakin, 2 ekor ular hitam yang ditemui di antara longgokan pakaian di dalam bilik air di Tanah Suci itu adalah pasangan suami isteri pengusaha restoran tersebut yang telah mendapat balasan dari dosa mereka menduakan Allah s.w.t. dengan memuja 'Geliga Ular'dan mengamalkan ilmu sihir ke atas pelanggan-pelanggan yang mendatangi restoran mereka...

"Sejak bila emak dan ayah kamu menggunakan 'Geliga Ular' ni untuk memajukan perniagaan mereka?" Tanya ustaz Fadhil.

"Entahlah ustaz, saya tak tau... Cuma sebelum berangkat ke Tanah Suci, emak dan ayah menyerahkan geliga ini kepada saya dan menyuruh saya mengasapi geliga ini pada setiap malam Selasa dan Jumaat..." Balas Khairul.

"Bagaimana caranya?" Tanya ustaz Fadhil lagi.

"Ayah pesan supaya membaca mentera (................), yang disuruhnya saya hafal, sewaktu mengasapkan geliga ini. Selepas itu geliga ini mesti direndam ke dalam air dan airnya digunakan untuk memasak dan membancuh air minuman di restoran kami. Saya juga disuruh merenjiskan sebahagian dari air rendaman tersebut ke dalam restoran dan kawasan sekitarnya setiap malam selesai kami berniaga. Saya dan adik-adik yang menolong menguruskan restoran juga disuruh menggunakan air rendaman geliga ini untuk mandi pada setiap pagi. Geliga ini mesti diletakkan di dalam laci duit di restoran sepanjang waktu restoran dibuka....." Panjang lebar Khairul bercerita kepada ustaz Fadhil.

Atas nasihat ustaz Fadhil yang telah menceritakan peristiwa yang berlaku ke atas ibu bapanya, Khairul telah membuang 'Geliga Ular' milik arwah ibu bapa mereka mengikut 'cara' yang disarankan oleh ustaz Fadhil. Dia dan adik-adiknya diminta melakukan solat taubat dan memohon keampunan di atas segala dosa-dosa yang mereka lakukan, terutama yang berkaitan dengan penggunaan 'Geliga Ular' tersebut.

Ustaz Fadhil terus membimbing Khairul dan adik-adiknya mengenali Allah dan kekuasaanNya dengan lebih mendalam. Selain mengajarkan perukunan Islam dan Iman, ustaz Fadhil juga mengajarkan beberapa amalan zikir Asma ul-Husna untuk memohon limpahan rezeki daripada Allah s.w.t.

Semenjak dari itu, restoran yang kini menjadi milik Khairul dan adik-adiknya diuruskan seperti biasa dan ramai juga pelanggan yang datang berkunjung meskipun tidak sehebat sewaktu restoran tersebut diuruskan oleh arwah ibu bapa mereka. Sesungguhnya setiap permintaan dan doa mestilah dimohon terus daripada Allah s.w.t, tanpa menggunakan perantaraan lain, lebih-lebih lagi jika melibatkan pertolongan dari syaitan atau makhluk lain. Menduakan Allah adalah DOSA BESAR iaitu syirik, dan tidak akan diampuni sehingga seseorang itu benar-benar insaf dan bertaubat dengan melakukan Taubat Nasuha..


...........ooooOOOooo..........

Tidak ada komentar:

Posting Komentar