Minggu, 14 Oktober 2012

Akibat menggunakan ilmu penunduk terhadap suami



Akibat menggunakan ilmu penunduk terhadap suami.

Jamilah dan ibunya yang berusia 50an berangkat ke Mekah bersama rombongannya untuk menunaikan ibadah Haji tanpa ditemani oleh ayahnya. Kedua beranak itu dalam keadaan yang sihat sewaktu meninggalkan Malaysia. Namun, sebaik tiba di Tanah Suci, ibu Jamilah berasa tidak sihat dan dari hari ke hari keadaannya semakin lemah. Jamilah menganggap ibunya mungkin tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca yang panas terik di Tanah Suci sehingga menjejaskan kesihatannya.

Apabila Jamilah melihat ibunya tidak lagi berupaya untuk meneruskan ibadah berikutnya iaitu melontar di Jamrah, Jamilah memimpin tangan ibunya lalu didudukkannya di sebuah tiang di dalam Masjidil Al-Haram sementara beliau meneruskan ibadahnya. Namun, sekembalinya Jamilah ke tempat ibunya setelah dia selesai melontar, didapati ibunya sudah tiada. Walaupun dia pasti dengan kedudukan tiang di mana ibunya ditinggalkan, serta puas pula dia mencari-cari ibunya di sekitar kawasan dalam dan luar masjid itu dengan dibantu oleh ahli rombongan yang lain, namun ibunya tidak dijumpai. Mereka juga turut mencari ibu Jamilah di hospital, malah Jamilah disuruh membuat pengecaman mayat, namun ibunya tetap tidak dijumpai. Setelah puas berikhtiar, Jamilah dan rombongannya kembali ke penginapan masing-masing.

Keesokannya Jamilah membuat laporan Polis di atas kehilangan ibunya itu. Hatinya tidak tenteram sehinggakan dia tidak dapat melakukan ibadahnya dengan sempurna, lalu terpaksa membayar dam. Selama 3 hari ibu Jamilah masih belum ditemui. Di atas nasihat seorang lelaki Melayu yang telah lama bermastautin di Mekah, Jamilah dan beberapa orang ahli rombongan yang rapat dengannya bersepakat melakukan solat hajat selepas solat Maghrib, selama 7 malam di dalam Masjidil Al-Haram, diikuti bacaan surah At- Taariq 41 kali dan berzikir dengan zikir Asma ul-Husna (Ya Kholiq sebanyak 1000 kali) selama 7 malam. Mengikut lelaki itu, demikianlah caranya jika hendak mencari orang yang hilang di Masjidil Al-Haram. Sekiranya dalam masa 7 hari ibu Jamilah tidak ditemui, sahlah ibu Jamilah telah meninggal dunia.

Sehingga malam kelima, harapan Jamilah semakin pudar kerana ibunya masih belum ditemui. Sehinggalah pada pagi hari keenam, tiba-tiba ibunya muncul dan berjalan terhuyung hayang menuju ke khemah penginapan mereka. Semua orang terkejut dan tidak menyangka usaha mereka selama ini berjaya dan dimakbulkan Allah s.w.t. Jamilah memeluk ibunya dan menangis teresak-esak.

Setelah membersihkan badan ibunya, Jamilah bertanya kepada ibunya ke mana beliau menghilang selama beberapa hari. Menurut ibu Jamilah, sewaktu berada di tiang masjid tersebut, seorang lelaki telah datang dan membawanya berjumpa dengan seorang lelaki lain yang amat bengis. Lelaki tersebut tidak membenarkannya bergerak ke mana-mana. Lelaki bengis itu bertanya ibu Jamilah samada benar atau tidak dia telah menggunakan ilmu guna-guna terhadap suaminya sehingga suaminya menjadi bodoh dan patuh kepada setiap kehendaknya. Apabila ibunya cuba menafikannya, tiba-tiba lelaki yang berada di sebelahnya terus mengetuk kepalanya sehinggakan ibu Jamilah hampir pengsan kerana menahan kesakitan. Akhirnya ibu Jamilah terpaksa mengakui tuduhan lelaki tersebut dan berjanji tidak akan melakukannya lagi dan akan bertaubat sebaik sahaja dibenarkan pulang. Akhirnya ibu Jamilah dihantar kembali ke tempat di mana dia berada di dalam Masjidil Al-Haram.

Dengan terpingga-pingga Jamilah menarik ibunya ke suatu sudut dan bertanya, " Benarkah ibu menggunakan ilmu terhadap ayah...?"

Ibu Jamilah tunduk sambil menangis teresak-esak....

"Sudahlah mak... Alhamdulillah mak dibebaskan. Mak bertaubatlah, mudah-mudahan Allah menerima taubat mak. Mohonlah ampun dari ayah bila mak sampai ke rumah nanti..." Pujuk Jamilah.

Hati Jamilah amat sedih mengenangkan perbuatan ibuny. Tidak diduga ibunya itu tergamak melakukan perbuatan larangan agama, semata-mata kerana mahu menguasai suami. Di dalam hatinya dia berdoa semoga ibunya diampuni Allah s.w.t.

........ooo00000ooo.......

Tidak ada komentar:

Posting Komentar